Monday, 4 March 2013

WANITA VS LELAKI

WANITA VS LELAKI DALAM SEKTOR AWAM

Jurang perbezaan warga perkhidmatan bagi lelaki dan wanita semakin mendalam. Peranan anggota perkhidmatan wanita tidak kurang bezanya dalam mendokong agenda serta aspirasi kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020. Namun demikian, ketua-ketua jabatan di agensi-agensi kerajaan masih dipelopori oleh pegawai-pegawai lelaki. Mengapa perkara ini berlaku dalam perkhidmatan awam dan adakah benar terdapat jurang perbezaan di antara warga perkhidmatan awam lelaki dan wanita? 


 Contoh terbaik wanita dan sumbangan mereka kepada negara ialah  dengan melihat kepada Gabenor Bank NegaraMalaysia (BNM) iaitu Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di mana wanita tersebut telah memegang jawatan sebagai Gabenor Bank Negara dari Mei 2000. Beliau yang telah menerajui BNM sejak 10 tahun lepas, telah menerima beberapa anugerah kerana prestasinya dan telah dinamakan sebagai "Gabenor Bank Pusat Terbaik Tahun 2011" oleh penerbitan Emerging Markets di Washington.








 Kita juga boleh melihat kepada peneraju Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di mana Tan Sri Zarinah Anwar telah memegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dari tahun 2006. Seandainya peranan wanita masih dipertikai dan hanya mampu menerajui tampok pengurusan, kita boleh melihat kepada DCP Datuk Noryah Md. Anvar di mana beliau adalah Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman. Beliau merupakan pegawai polis wanita pertama dilantik sebagai Ketua Trafik Bukit Aman pada tahun 2006. Datuk Nooryah sebelum ini memegang beberapa jawatan antaranya, Timbalan Pengarah Perancangan dan Strategi di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Penolong Pengarah (Perlucutan Harta) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Penguasa Bahagian Narkotik PDRM pada 1998. Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga adalah dari kalangan wanita iaitu Y. Bhg. Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria yang mula memegang jawatan tersebut pada tahun 2010. Beliau juga merupakan Naib Pengerusi SME Corporation.

Peranan wanita dalam pembangunan sektor awam tidak boleh disangkal lagi. Sumbangan wanita perlu diiktiraf setaraf dengan usaha dan penglibatan yang telah diberikan. Dewasa ini, kerajaan telah membuat pelbagai perancangan untuk mengintegrasikan wanita dalam aliran utama pembangunan dan membuka peluang-peluang yang lebih luas dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.
Sememangnya wanita berperanan penting dalam mencorak masa depan negara. 


Wanita merupakan pengasuh kepada generasi muda yang bermula dari institusi kekeluargaan dan seterusnya ke alam masyarakat sebenar. Pepatah melayu ada mengatakan bahawa ‘ Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncang dunia’ dan itu adalah hakikat yang harus kita terima. Wanita bukan lagi penghuni tetap di ceruk dapur malah menjadi salah satu kekuatan penting dalam pembangunan negara. Justeru, kredibiliti wanita tidak harus di pandang enteng kerana mereka mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki.   Buat kesekian kalinya, kita harus akur akan peranan wanita tidak kurang bezanya dalam mendokong agenda serta aspirasi kerajaan untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia dan Wawasan 2020. 


No comments:

Post a Comment